Wednesday, July 14, 2010

MY SULTAN PART 3


WAWASAN SULTAN JOHOR

BERJIWA rakyat. Begitulah keperibadian Sultan Johor kelima, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar. Baginda yang dimasyhurkan sebagai raja dan pemerintah kelima Johor Darul Takzim sehari selepas kemangkatan ayahanda, Almarhum Sultan Iskandar pada 22 Januari lalu.



HARAPAN KEPADA RAKYAT


“SAYA tidak suka rakyat saya berpecah. Jangan berpuak-puak dan jangan ada kepentingan diri. Bagi individu yang terbabit politik, jika mahu menjadi ahli politik jangan ada kepentingan diri. Mahu jadi wakil rakyat, haruslah bekerja untuk rakyat.


Johor adalah negeri maju dan rakyat mesti bertanggungjawab membantu kerajaan untuk memajukan lagi negeri ini. Jika kerajaan kucar kacir, pelabur tidak akan datang. Kerajaan tidak boleh berfungsi jika rakyat tidak beri kerjasama. Visi saya adalah 1Johor iaitu rakyat bersatu dan muafakat sebagaimana seruan (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak dengan 1Malaysia. Kita di Johor adalah 1Johor. Jangan ada yang berpuak-puak.



Orang Melayu sudah maju ke depan, menerusi rancangan luar bandar seperti Felda, ramai anak Melayu yang berjaya. Ada yang menjadi jurutera, doktor dan profesional. Mereka tinggal di Kuala Lumpur atau bandar besar lain, tinggallah orang tua mereka di situ (kampung). Ini bermakna kerajaan yang memerintah dulu sudah melihat prospek dan apa yang dilakukan itu kini berjaya. Kerajaan sudah buktikan. Sekarang kemajuan ini harus diteruskan dan dilakukan dengan terbaik demi masa depan anak-anak kita.”



HARAPAN KEPADA KERAJAAN


“MENTERI Besar jika di dalam organisasi perniagaan, dia diibaratkan sebagai pengurus besar. Beliau dibantu oleh pegawai kanan dan pekerja untuk memajukan syarikat. Namun jika pekerja tidak beri kerjasama, dengan kesatuan sekerja yang terlalu banyak bantahan serta masalah, syarikat sukar untuk maju. Syarikat akan mengalami kerugian dan apabila rugi, syarikat akan tutup dan hilang pekerjaan. Begitu juga dengan organisasi kerajaan, jika ada kepentingan, tidak beri sokongan, bekerjasama serta bekerja keras bersama-sama Menteri Besar, negeri tidak akan maju.


Sama seperti kerajaan dan menjalankan (pentadbiran) negeri, jika rakyat membantu dan bekerja kuat, negeri akan maju dan bila negeri kerugian, rakyat juga akan rugi. Tepuk dada tanya selera.


Saya mahu sebuah kerajaan negeri dengan pentadbiran yang berkesan dan tiada masalah. Saya mahu negeri Johor ini ‘trouble free state’ (negeri bebas masalah).”


PEGAWAI KERAJAAN


“SAYA akan memainkan peranan. Saya mahu pegawai yang dilantik melaksanakan tugas dan amanah mereka dengan sebaik-baiknya. Saya sudah memanggil menghadap pegawai kerajaan untuk memberi taklimat mengenai pembangunan daerah serta menasihatkan mereka supaya mempertingkatkan kualiti kerja untuk rakyat.


Saya akan lebih kerap melawat daerah, bandar, kampung dan saya akan beri teguran serta nasihat demi kepentingan serta kesejahteraan rakyat. Saya harap (kakitangan kerajaan) jangan terlalu leka. Kerajaan lantik mereka untuk buat kerja. Mana-mana yang dulu tidur, sekarang bangunlah.”



KEMBARA MAHKOTA JOHOR


“SAYA akan meneruskan program ini bersama-sama Tunku Mahkota. Nama program Kembara Mahkota saja yang akan berubah, namun konsep masih sama. Tunku Mahkota mungkin akan ada beberapa acaranya tersendiri. Johor mempunyai 10 daerah, dengan penyertaan Tunku Mahkota dalam program itu, lebih banyak aktiviti boleh diadakan dan lebih banyak kawasan boleh dilawati.


Untuk tahun ini saya bercadang meneruskan program ini dengan menaiki kereta api. Manakala Tunku Mahkota mungkin mengikut jalan raya. Saya dan Tunku Mahkota masing-masing akan mempunyai acara tersendiri sebelum kami bergabung pada majlis tertentu.”



KENANGAN BERSAMA ALMARHUM SULTAN ISKANDAR


“KETIKA bersama Almarhum Sultan Iskandar dulu, Almarhum tidak suka saya berjalan ke luar negara. Almarhum mahu saya selalu dekat dengannya dan sentiasa kawal pergerakan saya.


Bahkan dalam negeri Johor, jika saya mahu keluar daerah, saya perlu menghadap dan minta izin Almarhum baginda. Jika mahu ke pulau dan melakukan aktiviti menyelam, saya kena menghadap sembah dan maklumkan bila dan berapa lama mahu pergi, bila balik dan siapa lagi yang pergi. Almarhum juga mahu tahu siapa kawan saya. Selepas itu, akhir sekali, baru Almarhum ucapkan selamat, “Bah (Ayahanda) doakan semuanya tak ada apa-apa, semuanya selamat.” Apabila balik juga perlu menghadap. Almarhum mahu tahu apa cerita, berapa lama dalam air, berapa kali menyelam, ikan apa ditembak dan perlu tunjuk bukti ikan itu. Almarhum akan tanya, betulkah saya yang tembak? Almarhum tidak suka perbuatan membazir, pantang sekali kalau melihat pembaziran. Kalau mahu ke luar negara, contohnya, hendak lihat anak saya bersekolah di Australia. Almarhum akan tanya, berapa hari pergi ke sana. Saya jawab seminggu. “Eh, mana boleh?” Almarhum potong tiga hari. Jadinya pergi satu hari, melawat satu hari, balik satu hari, tinggal satu hari sajalah cuti saya.


Saya dengan Almarhum sangat rapat, tetapi saya tidak pernah menjawab, kalau Almarhum murka dengan saya, saya tidak menjawab, saya diam. Perlahan-lahan Almarhum akan ‘sejuk’ semula. Itulah hubungan bapa dengan anak.


Nasihat saya kepada orang muda sekarang, mesti hormat kepada ibu bapa kita. Kalau tidak ada mereka (ibu bapa), matahari dan bintang tidak akan dapat dilihat. Hormatilah ibu bapa dan mereka yang lebih tua.”


CARA MENDIDIK ANAK


“SAYA tidak berkeras dengan anak. Ketika kecil, saya juga dirotan oleh Almarhum ayahanda. Jika buat salah, saya dirotan sebagai hukuman. Almarhum tidak suka orang bercakap bohong, mengumpat dan mencuri. Saya tidak pernah sekali pun mendengar Almarhum mengumpat mengenai orang lain. Kalau ada yang bercerita mengenai sesiapa pun, Almarhum hanya mendengar dan tidak masuk campur.



Dengan anak saya, jentik pun tidak pernah. Saya memberi teguran dan nasihat. Generasi mereka sekarang tidak sama ketika saya dilahirkan pada 1958. Mereka dilahirkan tahun 1980-an. Keadaan sudah jauh berbeza. Pendekatan bersama anak juga berubah. Malah kadangkala mereka temberang kita balik, “Eh, Bah (Ayahanda) ini bukan tahun 50 (1950-an), ini alaf baru.” Ada saja jawapan mereka.


Anak saya yang ketiga, Tunku Temenggong, Tunku Idris Iskandar kini menjalani latihan ketenteraan bersama Angkatan Tentera Darat. Anak lelaki ketiga, Tunku Abdul Jalil kini belajar di Zoo London. Dia suka binatang dan juga pencinta alam sekitar, sayangkan pusaka negeri dan warisan.


Anak saya yang perempuan (Tunku Aminah), dia seperti penunggu rumah, suka makan di kedai tetapi tidak suka keluar waktu malam. Anak kelima saya, Tunku Iman tidak tahu lagi (perancangannya).”


MASYARAKAT ORANG ASLI


“SAYA ingin menegur masyarakat Orang Asli kerana saya lihat mereka terlalu bergantung kepada kerajaan dan hanya mengharapkan bantuan percuma hingga mendorong mereka jadi pemalas. Sebelum ini mereka banyak diberi bantuan, tanah, rumah dan keperluan lain dengan percuma. Kita bantu mereka, adakah mereka berterima kasih? Begitu besar kerajaan berbelanja membantu mereka.



Justeru saya mahu mereka berubah dan tukar cara hidup. Mereka perlu dididik dengan cara hidup yang lebih berdikari. Jika tidak buat begitu, mereka tahu setiap tahun bantuan (kerajaan) akan datang. Adakah ini adil pada rakyat lain yang juga hidup susah? Di Johor, ada kira-kira 14,000 Orang Asli yang kebanyakannya sudah maju dengan kira-kira 80 peratus memeluk agama Islam.


Sekarang mereka mesti keluar dari kampung dan bina kehidupan lebih baik. Kalau 100 tahun lalu, sejumlah 95 peratus negeri Johor ini adalah hutan, kena cari makan dalam hutan. Kais pagi makan pagi, kais petang, makan petang. Namun sekarang negeri semakin maju dan hutan semakin kecil. Takkan mereka mesti terus memburu di hutan. Mereka tidak boleh dengan cara hidup 50 tahun dulu kerana negeri sudah maju dan mereka mesti keluar (daripada cara hidup tradisional).


Dalam rancangan luar bandar, kerajaan siapkan ladang. Ini antara cara mengubah hidup Orang Asli. Kena bawa mereka keluar, tetapi jangan pula adat resam mereka hilang.”


ALAM SEKITAR


“PENCEMARAN salah siapa? Salah kita... Kerajaan menyediakan tong sampah percuma, tetapi orang ramai buang di mana? Masih ada yang tidak bertanggungjawab buang ke parit dan sungai. Kerajaan menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan menyediakan peruntukan besar untuk membersihkan sungai.



Namun seharusnya atasi dulu masalah dan punca pencemaran sungai itu. Apa saja yang menyebabkan sungai tercemar sama ada membabitkan orang ramai, perniagaan mahupun industri, perlu ditangani dengan berkesan. Apabila masalah ini dapat diatasi, baru sungai itu dibersihkan. Jika dibersihkan juga tetapi sampah dan kotoran industri masih dibiarkan mengalir ke sungai, ia tidak akan berubah. Sungai akan terus tercemar dan yang akan merasa kesan dan akibatnya adalah generasi kita akan datang.


Di Pantai Lido, dulu banyak pokok stu. Buahnya seperti rambutan tetapi hijau dan bila dipecahkan nampak isi putih, dan rasanya lemak manis. Di Sungai Tebrau pula penuh siput gonggong, tetapi sekarang spesies itu sudah tidak ada. Malah spesies yang tidak pernah ada pula wujud seperti ikan Subaru. Ia seperti ikan bawal tapi ada bintik hitam pada tepi badannya.


Sebenarnya saya tidak setuju dengan kerja penambakan Pantai Lido melainkan kerja-kerja melebarkan jalan sahaja. Bapa, datuk dan moyang saya bina istana di tepi laut kerana pemandangan yang indah di tepi pantai.


Kita bina masjid, bangunan Majlis Agama Islam Johor, mahkamah syariah, hospital dan Istana Bukit Serene semuanya menghadap laut dengan pemandangan cantik bersama tiupan bayu laut.


‘Muka kita sudah cantik, mengapa mahu tampal dan tutup lagi?’ Apakah tanah di Johor sudah tidak ada hingga perlu menambak laut. Saya tidak setuju dengan pembangunan itu dan sudah sampaikan hasrat saya pada Menteri Besar Johor. Kalau di sebelah Stulang, tidak jadi masalah jika mahu tambak untuk dibangunkan dan diperindahkan dengan kawasan pejalan kaki. Pembangunan di Pantai Lido tidak perlu, dan cukup dengan Teluk Danga yang sudah dibangunkan.”


KEBERSIHAN BANDAR DAN SUNGAI


“KALAU sayangkan negeri kita, cintakan sungai kita, kena berubah. Tiba masanya kita berubah. Saya mahu negeri ini lebih bersih. Perlu ada usaha dan kesungguhan daripada semua pihak untuk mempertingkatkan lanskap dan hiasan di seluruh negeri dan bandar raya Johor Bahru terutamanya. Sampai masanya rakyat perlu sedar, dan bantu kerajaan untuk pertingkatkan kebersihan negeri Johor.


Saya sudah nasihatkan kerajaan dan arahkan penubuhan jawatankuasa khas mengenai kebersihan di negeri Johor. Undang-undang yang ada kurang pelaksanaan daripada segi penguatkuasaan. Saya minta lebih adil dan telus dalam menguatkuasakan peraturan.”


PELANCONGAN


“KERAJAAN sudah melakukan yang terbaik dan mempunyai banyak perancangan bagi mempertingkatkan industri pelancongan di Johor. Antara yang dilakukan adalah beri anugerah dan tauliah kepada penggiat industri pelancongan.



Namun pada masa sama, kerajaan harus meningkatkan kemudahan dan infrastruktur di lokasi tumpuan pelancongan. Contohnya Mersing, pelancong suka ke sana kerana ada banyak gugusan pulau yang indah. Jadi kita perlu pertingkatkan kemudahan dan kualiti perkhidmatan untuk menarik lebih ramai pelancong ke sana.


Saya berhasrat menghidupkan kembali Tenun Johor sebagaimana Tenun Pahang yang kini popular di Pahang. Tenun Pahang terkenal kerana Tunku Ampuan Mariam membawanya ke negeri itu dan kemudian kekal popular kerana adik saya (Tunku Azizah Maimunah Iskandariah) mengambil berat.



Justeru saya mahu mengembalikan Tenun Johor yang berasal dari Lingga, Indonesia. Sebenarnya tidak susah untuk menghidupkan semula tradisi Tenun Johor, jika mendapat sokongan kerajaan dan minat rakyat. Kita perlu sediakan bangunan dan bawa ahli tenun dari Lingga untuk berkongsi ilmu. Memang ada yang menganggap kerja tenunan kurang komersial, tetapi jika kita fokus dan berusaha, ia sebenarnya menguntungkan.


Banyak perkara yang hendak dihidupkan semula di Johor. Anyam mengkuang, tikar mengkuang, semua boleh dihidupkan semula. Kerajaan kena bantu dan beri subsidi. Kita mesti hidupkan, jika tidak ia akan pupus. Seperti di Kelantan yang popular dengan ukiran perak dan tembaga.


Selain itu, Johor harus memanfaatkan industri nanas, fiber (gentian) nanas yang boleh dibuat baju harus diperkembangkan lagi sebagai satu daripada imej negeri ini.”


KESELAMATAN DAN JENAYAH


“KERAJAAN sudah melakukan pelbagai cara, antaranya menyediakan sistem kamera litar tertutup (CCTV), menambah anggota dan pondok polis tetapi masih susah mengawal jenayah.



Dulu jika berlaku rompakan, mangsa tidak dibunuh, tetapi sekarang penjenayah semakin kejam. Ada mangsa rogol yang dibunuh, kanak-kanak turut jadi sasaran, malah ada mangsa dibakar.


Justeru saya ingatkan rakyat supaya lebih prihatin dan peka. Tinggal dalam kawasan kejiranan, perlu ada perasaan cemburu dan curiga. Jika ada orang asing atau tidak dikenali, perlu diperhatikan. Kita harus pedulikan orang dan tidak hanya mementingkan diri sendiri. Sikap seperti itu tidak muafakat, maka tidak ada berkat.”


dari Harian Metro 3 Julai 2010