Hari ini 22 Nov 2009, genap usiaku 50 tahun. My Golden Jubilee.
Dilahirkan pada 22 November 1959 di Kg Parit Lapis Mahang, Mk X, Senggarang, Batu Pahat, Johor (anak keempat). Ayahku bernama Hj Abd Rashid bin Hj Tahir (Isa) bin Ibrahim, ibuku bernama Umikelsom binti Hj Mustapa bin Pajoyo. Nenek sebelah ayah bernama Manisah bt Shafie manakala nenek sebelah ibu bernama Suminah bt Kasan. Adik beradikku, yang sulong bernama Md Jahrom (7-6-1951), kedua Siti Rahimah (7-7-1954), ke3 Khamim (18-4-1957).
Tahun 1962 keluarga kami pindah ke rumah yang ada sekarang- mengadap ke jalan raya. Adikku Noradzim (anak kelima) dilahirkan (3-1-1963), Rakhiman (anak ke6) dilahirkan (13-10-1965). Pada tahun 1966 aku masuk sekolah rendah, Sek Keb Seri Rejo Sari. Adikku Khairiah (anak ke7) dilahirkan (13-5-1968).
Tahun 1970, aku menduduki Peperiksaan Penilaian Dj 5 (mendapat 3A, 1B, 1C) dan menjadi pelajar terbaik tahun itu. Adik bungsuku, Aminin dilahirkan pada 3-2-1971. Pada tahun 1972 kakakku Siti Rahimah (18) berkahwin dengan Hamzah (almarhum 2006).
Aku masuk Sekolah Menengah Tunku Mahmood Iskandar (STMI), Pt Saidi pada tahun 1972. Pada tahun 1974 aku mengambil SRP (dapat A11) dan abang sulungku, Md Jahrom (23) berkahwin dengan Sharifah Zainah (Kak Enah) pada tahun 1975.
Aku lulus SPM pada tahun 1976 dan mendapat Pangkat 1 Agg 16. Masuk Tingkatan 6 Rendah di SDBL (beberapa minggu sahaja) kemudian terpilih untuk memasuki ke asrama penuh di Sek Alam Shah, Cheras KL. Tetapi aku meninggalkan SAS untuk masuk ke UTM (Kursus Integrasi Senibina) pada bulan Mei 77- tinggal di asrama UTM Jalan Gurney (sekarang Jalan Semarak). Pada tahun 1979
Pada bulan April 1980 aku masuk Sekolah Pegawai Kedet (SPK) Port Dickson bagi Pengambilan Tauliah Jangka Pendek (TJP) ke 37. Aku menamatkan latihan pada penghujung Dis 80, tidak ditauliahkan kerana perlu melapor ke Sekolah Penerbangan TUDM sebagai Pegawai Kedet Udara. Mula-mula dihantar ke Pulatibang I, TUDM Alor Setar tetapi kemudiannya dihantar untuk menjalani latihan di Pulatibang II, TUDM Kluang untuk menjalani latihan asas penerbangan helikopter. Pada bulan Mei 1981 aku gagal latihan penerbangan. Kegagalan besar kedua dalam hidupku.
Selepas mengikuti kursus pendek (sebulan) Pergerakan Udara di SEKLOG TUDM Kinrara, aku ditukarkan ke TUDM Kuching pada bulan Okt 1981 selama 2 tahun 6 bulan. Sejarah 'ragging' terburuk dalam TUDM di Mes Angkasanuri, dimana seorang juruterbang muda bernama LtM Sukhudev Dass telah mati. Sebagai pegawai muda yang pertama kali bertugas di Unit operasi, aku melalui banyak 'dunia' baru di sini.
Aku bertunang dengan Adibah pada 16 Ogos 1982.
Aku mengikuti Kursus Asas Pengurusan Pegawai Logistik 22/83 di TUDM Kinrara dari Apr hingga Okt 1983. Sebaik sahaja menamatkan kursus asas Logistik, aku melangsungkan perkahwinan dengan Adibah pada 16 Okt 1983.
Setelah tamat kursus asas aku ditukarkan ke TUDM Kuantan mulai 21 Okt 1983. 3 bulan dari tarikh melapor di TUDM Kuantan, aku terpilih mengikuti Kursus Asas Pegawai Kelengkapan di Sekolah Kor Kelengkapan, Batu Kantonmen selama 3 bulan. Bulan Ogos 1984, ditumpangkan ke Pulatibang 3 sebagai Ketua Flt Logistik. Lt Kol Aziz Iskandar (my Commandant)....... di mana dia sekarang?
Pada 27 Ogos 1984 Muhammad Hafeez Firdaus dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan. Kereta pertamaku (second hand je) ialah Nissan Pulsar CQ 5300. Dinaikkan ke pangkat Lt (Udara) pada 24 Januari 1985, disempurnakan oleh Pemangku Komandan, Mej Shubli bin Ismail (beliau meninggal dunia dalam kemalangan pesawat MB-339A pada 1 Jun 1985).
Nur Fairiza Fazeera dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan pada 23 Oktober 1985.
Aku dipilih mengikuti kursus Diploma in Business Studies, ITM Shah Alam ) bermula pada bulan Jun 1986 dan duduk di Sek 17, Shah Alam (sehingga tahun 1993). Semasa di Shah Alam aku berpengalaman menjadi Imam, Pembantu Amil dan Setiausaha Surau Al Amin Sek 17. Graduat dari ITM dengan Diploma in Business Studies , ITM Shah Alam (26 Okt), melapor ke Markas Pemerintahan Pertahanan Udara ( Markas HANUD) dan dinaikkan ke pangkat Kapten TUDM (sebenar) berkuatkuasa pada 1 Ogos 1989. Pemakaian disempurnakan oleh Panglima, Mej Jen Dato' Abdul Ghani Aziz.
Mengikuti Kursus Pegawai Skuadron 22/90 di ITU Kinrara pada bulan Feb hingga Mei 1990. Aisyahnur Abid dilahirkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang (8 Mac 1990). Aku tukar kereta (second hand juga) kepada Proton Saga 1.5 –WBK 1718. Atikah Nur Ezzaty (anakku ke 4) dilahirkan di Shah Alam (di rumah sewa Jln 17/14A) pada 6 Jun 1991.
Pada tahun 1991 aku dapat pengalaman bertugas sebagai LO (Log) dalam Ex-Elang Malindo di Medan, Indonesia. Ditukarkan ke DTU Latih sebagai PS 2 Latih (Kewangan) pada 27 Dis 1991.
Aku berpindah rumah dari Sek 17, S/Alam ke OMQ 121 Kem KEMENTAH pada 28 Jan 1993. Ditukarkan ke Bahagian Materiel sebagai PS 2 SISMAT C (Sumber Manusia) mulai 1 Jun 1993 dan dinaikkan ke pangkat P/Mejar TUDM berkuatkuasa 01 Jun 1993. Pemakaian disempurnakan oleh Brig Jen Abdul Rahman bin Rais, APTU Materiel (bersara 1996 dan meninggal dunia pada 18 Sep 2004).
Aku sekali lagi terpilih untuk mengikuti Kursus Diploma Lanjutan Pengajian Perniagaan -ADBS(HRM di ITM Shah Alam.
Aktif dalam PIBG SKDTHO mulai 1995 sebagai AJK, kemudian Timbalan Pengerusi dan Pengerusi sehingga tahun 1999. Anakku ke5, Muhammad Heikal Fawwaz dilahirkan di OMQ 121, Blok 4501, Lorong Golok, Kem KEMENTAH (26 Mei 1995).
Ditukarkan ke Bahagian Materiel, MTU sebagai PS 2 SISMAT B kemudian memangku PS 1 SISMAT. Menerima Anugerah Khidmat Cemerlang pada tahun 1997. Kali pertama aku dapat ke luar negara (bukan Asia Tenggara) ialah pada Mac 1997 menyertai PDI Tac Radio Comm di Chandigarh, India.
Tahun 1997, aku dikurniakan pingat Ahli Mangku Negara ( AMN) (oleh SPBYDP Agong X: Tuanku Jaafar).
Pada bulan Nov 98, terpilih mengikuti PDI PSR di Rome, Italy (berpeluang melawat Pisa, San Marino dan La Spezia)- perjalanan ulung ke Eropah.
Tahun 1999 aku mengikuti pengajian setahun di Maktab Turus AT. Turut mendapat Diploma Pengajian Strategik dan Pertahanan, Universiti Malaya. Lawatan ke ke Songkhla & Haatyai, Thailand. Aku tukar kereta (pertama kali merasa kereta baru), Proton Wira GLi 1.5 bernombor BFR 1544 (government loan). Setelah menamatkan kursus di MTAT, aku ditukarkan ke Kementerian Kewangan (Kompleks Kerajaan Jalan Duta) untuk menjawat jawatan Pegawai Khas TUDM di Bahagian Perolehan mulai 27 Dis 2000.
Nurul Azyan Syafiqah dilahirkan di Hospital KL pada 4 Mei 2000. Pada bulan Okt 2000 mengikuti Project Review Meeting Super Lynx RMN Heli Project di Yeovil (Sommerset) & London, UK (pertama kali dapat ke UK).
Pada tahun 2001 aku beli motorsikal Modenas Kriss (2nd hand) (kerja kat Putrajaya, tak larat duit minyak kereta). Pada bulan Jan 2001- ke Tucson, Arizona, USA- (via Los Angeles) tugas mambawa pulang Global Express 9007- balik singgah di Barcelona (night stop) & Pulau Maldives (refuelling).Pada bulan Jul 2001, ke Toronto, Canada (acceptance check GE 9096), berpeluang melawat ke premis SPAR Aerospace dan melancong ke Niagara Falls. Pada tahun ini juga aku mula mengikuti pengajian luar kampus di UKM (Sarjana Pentadbiran Perniagaan).
Tahun 2002, Heikal masuk tahun 1 SKDTHO manakala Hafeez dan Fazeera ambil PMR di SMA Wawasan. Aisyah masuk Tingkatan 1, di SMDTHO manakala Hafeez dan Fazeera berpindah ke SMAR Nahdatul Hasanah, Melele, Kodiang, Kedah (masuk Tkt 4). Pada tahun ini juga KemKew berpindah ke Kompleks Kementerian Kewangan yang baru di Presint 2 Putrajaya pada Sep 2002. Aku juga berpeluang ke Milan, Italy (via Rome) untuk menghadiri Project Review Helikopter A109M JBPM pada Nov 2002 (berpeluang melancong ke Venice dan balik singgah London.)
Tahun 2003, aku beli motorsikal Modenas Jaguh –PUTRAJAYA 1959 (jual Kriss). Pada tahun ini aku menerima ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Universiti Kebangsaan Malaysia dalam Konvokesyen ke 31 pada 18 Ogos 2003.
Pada bulan Feb 2004, aku melapor ke MTU-Materiel (SISMAT) dan dinaikkan ke pangkat P/Lt Kol TUDM berkuatkuasa pada 1 Feb 2004, disempurnakan Timbalan PTU, Lt Jen Dato’ Azizan bin Ariffin. Pada Jun 2004, aku menghadiri Logistics Seminar di Singapura. Mulai bulan Mei aku mula membuat part time tutor di OUM (PPT Shah Alam Sek 7).
Aku dipilih mengikuti delegasi ATM dalam Logistics Working Group Meeting di Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam. Pada bulan Ogos 2005, Menghadiri Pacific International Logistics Seminar di Hickam AFB, Hawaii (via Singapura & Tokyo).
Sepanjang tahun 2004-2006 aku diberi tugas sebagai Panel Pengadil Anugerah Kualiti PTU, Panel Pengadil Anugerah Maal Hijrah KEMENTAH, Panel Pengadil Pertandingan Esei Bahasa Inggeris KEMENTAH. Aku bertukar ke jawatan PS 1 Kontrak mulai 10 Okt 2005. Menerima pingat Kesatria Angkatan Tentera (KAT) pada 15 Nov 2005 oleh YDPA XII Tuanku Syed Sirajuddin. Aku membeli kereta kedua (baru), Naza Citra –WNN 1959 (anak 6, Proton Wira dah tak muat lagi dahhh).
Aku terpilih mengikuti lawatan ke Indonesia (Jakarta, Bandung, Jogjakarta) untuk Program Pertukaran Pegawai TUDM-TNIAU pada bulan Mei 2006. Aku mengetuai tugas Pre-Acceptance Check untuk Camera F5 AK270 di ROI Barrington, Illinois, USA dari 14 hingga 21 Okt 2006.
Tahun 2007, Hafeez menerima Diploma Tahfiz Qur’an (Darul Qur’an) manakala Fazeera menerima Diploma Pengajian AlQur’an dan Sunnah ( KUIS).
Aku ditukarkan ke MLU (sebagai PS 1 Pembaikan)- mulai 01 Apr 07). Terpilih mengikuti tim PDI SU30MKM di Irkutsk/Moscow (Russia) juga majlis Roll out Ceremony Pesawat SU30MKM (13 Mei – 26 Mei 07). Turut terpilih ke UK (London, Bristol, Ansty & RAF Marham) untuk tugas Lawatan di Rolls-Royce Facilities (28 Mei – 1 Jun 07). Dipilih sebagai Tokoh Wira Maal Hijrah 2007 KEMENTAH.
Sekali lagi ke UK (Ansty) bagi tugas Acceptance Test Viper Engine (9-14 Dis 08)- lawatan ke Museum Madame Tussauds). Mula memangku jawatan Ketua Staf Khidmat, MLU mulai 14 Jul 08. Tahun ini juga aku membeli kereta (second hand) Perodua Kancil –WLX 7587 (untuk Fazeera- diala bayar ansuran bulanan).
Tahun 2009, aku ke Bristol, UK -untuk tugas Programme Review Meeting (PRM) Adour Engine (23-27 Mac 09). Secara rasmi ditukarkan ke jawatan KSK mulai 1 Jun 09. Lawatan ke Lytham, UK (London) untuk tugas JPRM Hawk/BAe, dan lawatan tak rasmi ke Kearsly di Stansted, Martin Bakers di Denham, Oxbridge dan Vector Aerospace di Croydon (28 Jun – 4 Jul 09).
0 comments:
Post a Comment